BINTULU, Sabtu- Sempena menyambut bulan Ramadhan pada tahun ini, satu majlis pengagihan sumbangan oleh Majlis Islam Sarawak kepada Masjid dan Surau bahagian Bintulu bagi tahun 1431H bersamaan 2010M telah berlangsung pada 21 Ogos 2010M bersamaan 11 Ramadhan 1431H di Surau at Taqwa, RPR Sibiew, Bintulu. Majlis penyampaian agihan ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Talip Zulpilip, Menteri Muda Pelancongan dan Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan N.58, Jepak. Antara yang hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Tabung Baitulmal Sarawak(TBS) Cawangan Bintulu, En. Salim bin Bujang, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, Y.A Tn. Hj. Najarudin bin Hj. Nedri, Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu, Ustaz Zamrus bin Buang dan Temenggong Abang Suhaili bin Abang Mohammad.
Dalam majlis tersebut, setiap masjid dan surau yang terdiri daripada 12 buah masjid dan 59 buah surau telah menerima sumbangan berjumlah RM1000 menerusi Tabung Baitulmal Sarawak. Ini merupakan tahun keempat sumbangan seumpama ini diberikan kepada Masjid dan Surau di Negeri Sarawak oleh Majlis Islam Sarawak.

No comments:
Post a Comment