Jumlah masjid di bahagian Bintulu kini telah bertambah kepada 12 buah. Ini kerana, Masjid Al Mustaqim yang sebelum ini dikenali sebagai surau al Mustaqim telah dinaik taraf kepada masjid. Satu majlis ringkas penyampaian sijil naik taraf kepada masjid telah berlangsung baru-baru ini yang telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Sarawak, Ustaz Hj. Kipli bin Yassin dan disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid al Mustaqim, Tn. Hj. Saimi Hassan. Majlis yang berlangsung di Masjid al Mustaqim turut di hadiri oleh En. Zarni bin Rapaiee, Wakil dari Pejabat Residen Bintulu, En. Abd. Wahab Hashim, Wakil dari BDA, Ustaz Zamrus bin Buang, Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu, Y.A Ust. Najarudin bin Nedri, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, semua ajk masjid dan tidak ketinggalan penduduk sekitar RPR Kidurong.
Bercakap dalam tazkirahnya, Ybhg. Ust. Hj. Kipli Yassin menjelaskan walaupun masjid al Mustaqim bertaraf masjid tanpa solat jumaat, penduduk sekitar boleh mengambil manfaat dengan melakukan iktikaf dan solat sunat tahyatul masjid. Kebenaran Solat jumaat tidak diberikan kerana kedudukan Masjid Darul Hidayah yang merupakan masjid berjumaat terlalu hampir dengan Masjid al Mustaqim. Walaubagaimanapun, kebenaran jumaat hanya boleh diberikan kepada Masjid Al Mustaqim setelah mengambil kira beberapa faktor dan syarat wajib jumaat dipenuhi. Antaranya masjid berjumaat yang terdekat tidak mampu lagi menampung jumlah jemaah solat jumaat yang terlalu ramai dan pihak masjid tidak ada perancangan untuk memperbesarkan lagi ruang solat. Selain itu faktor persekitaran turut diambil kira termasuklah rancangan perumahan yang akan didirikan disekitar kawasan berkaitan dan faktor-faktor lain yang dikira perlu. Walaubagaimanapun, AJK masjid dan penduduk sekitar kawasan RPR Kidurong disarankan agar dapat sama-sama memainkan peranan dalam mengimarahkan masjid pada setiap masa. Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al Mustaqim, RPR Kidurong dengan kerjasama beberapa agensi lain yang terlibat berakhir jam 10.30 malam.
No comments:
Post a Comment